Inikah Sebab Anda Ingin Memulakan Perniagaan Sendiri?

Apakah yang mendorong seseorang membuat keputusan untuk memulakan perniagaan mereka sendiri? Adakah ia berpunca daripada keinginan mereka untuk mendapat kekayaan semata-mata atau merupakan hasil daripada minat mendalam mereka terhadap bidang tertentu?
Tentunya, terdapat pelbagai sebab kenapa seseorang memilih membuka perniagaan sendiri berbanding pekerjaan makan gaji. Setiap individu mungkin mempunyai sebab yang berbeza. Anda pula bagaimana?
Kajian menunjukkan perkara di bawah menjadi punca utama mengapa ramai membuat keputusan untuk memulakan perniagaan sendiri berbanding bekerja untuk orang lain
1. Menggapai Cita-Cita Sendiri
Memulakan perniagaan sendiri adalah cara untuk menuruti minat dan cita-cita yang mungkin sukar dicapai dalam pekerjaan bergaji kerana terikat kepada misi dan visi majikan. Memiliki perniagaan sendiri membolehkan mereka menetapkan misi dan visi sendiri dan seterusnya memberi peluang untuk mengamalkan kemahiran dan minat peribadi. Ini tentu sekali membolehkan pemilik perniagaan mencapai tahap kepuasan yang tinggi dalam tugasan harian mereka.
2. Kebebasan Untuk Membuat Keputusan
Pemilik perniagaan mempunyai kuasa mutlak untuk membuat keputusan tanpa perlu menunggu kelulusan dari pihak atasan. Ini membolehkan pemilik perniagaan mempraktikkan kebijaksanaan dan kreativiti diri sendiri tanpa rasa terkongkong.
3. Membantu Atau Memudahkan Urusan Orang Lain
Pemilik perniagaan melihat kepakaran atau kebolehan yang mereka sedia ada boleh membantu, memudahkan atau menyelesaikan urusan pelanggan, menjadikan kehidupan pelanggan lebih baik dan mudah. Ini adalah satu cara untuk pemilik perniagaan dapat memberi nilai tambah dan menyumbang kepada komuniti.
4. Meninggalkan Legasi Perniagaan Kepada Waris
Pemilik perniagaan ingin mewariskan perniagaan kepada waris mereka agar waris tidak menghadapi kesukaran dalam mencari pekerjaan atau kesulitan menangani kerenah majikan di kemudian hari. Pemilik perniagaan ingin memberi waris mereka peluang untuk memajukan dan memngembangkan perniagaan yang telah dibina.
5. Membina Jenama Sendiri
Pemilik perniagaan ingin membina kredibiliti atau populariiti mereka dengan jenama yang dikenali dan dipercayai, samada jenama peribadi mereka sendiri ataupun jenama entiti perniagaan mereka. Produk atau entiti perniagaan mereka membolehkan mereka mencapai hasrat ini.
6. Memiliki Masa Kerja Yang Fleksibel
Tidak semua orang mampu bekerja mengikut jadual tetap, dan ramai yang menghargai fleksibiliti dalam waktu kerja. Memiliki perniagaan sendiri membolehkan seseorang menguruskan masa kerja mereka mengikut keperluan peribadi, terutamanya jika mereka mempunyai tanggungjawab keluarga.
7. Mempunyai Lebih Banyak Masa Untuk Diri Sendiri
Seiring dengan pertumbuhan perniagaan, pemilik perniagaan boleh menyerahkan kerja operasi harian kepada staf yang boleh dipercayai, memberikan pemilik perniagaan lebih masa untuk tugasan peribadi, keluarga atau sekadar untuk berehat.
8. Mendapat Suasana Kerja Ideal
Memiliki perniagaan sendiri membolehkan penciptaan suasana kerja yang sesuai dengan keperluan dan nilai peribadi pemilik perniagaan sendiri. Ini dapat mewujudkan persekitaran yang selesa dan produktif untuk mereka dan juga pekerja mereka.
9. Berurusan Dengan Pelanggan Terpilih
Pemilik perniagaan mempunyai kawalan untuk memilih kelompok pelanggan yang mereka ingin berurusan. Mereka boleh menetapkan kriteria pelanggan yang mereka ingin sasarkan dan memilih pelanggan yang sejajar dengan nilai dan matlamat perniagaan mereka. Ini dapat mengelakkan pemilik perniagaan daripada berurusan dengan pelanggan yang mereka tidak gemari.
10. Cabaran Harian Yang Berbeza
Menguruskan perniagaan sendiri membawa cabaran harian yang berbeza; situasi ini sangat sesuai untuk individu yang tidak suka rutin kerja yang sama setiap hari.
Secara keseluruhannya, terdapat pelbagai sebab yang mendorong individu untuk memulakan perniagaan mereka sendiri, dan setiap individu mungkin mempunyai kombinasi unik sebab-sebab itu. Perniagaan bukan hanya mengenai keuntungan semata-mata, tetapi juga mengenai pemenuhan keperluan peribadi dan profesional, mencipta peluang, dan membentuk masa depan yang lebih cerah.